"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Wednesday, February 1, 2012

Hati seorang isteri..

Bismillah..
Entah kenapa sekarang sepertinya aku dapat menyelami perasaan seorang isteri. Aneh kan sebab aku sendiri belum berkahwin. Mungkin pengalaman di sekeliling menjadikan aku semakin dewasa dan bijak berfikir! 

Hari ni terlewat bangun lagi! Apa yang aku fikirkan sampai susah mahu tidur di malam hari. Bangun pagi aku lihat keadaan rumah tidak berkemas. Walaupun rumah tak ada anak kecil tapi tetap tahu rumah tidak dikemaskan lagi! Baju pun tak berbasuh, sampah tak bersapu , pinggan tak bercuci. Betul! Ini bukan kakak ipar yang aku kenal! Dan hari ni aku sendirian memasak di dapur tanpa ditemani dia. 

Aku tengok kakak ipar termenung bawah pohon manggis tempat kami sekeluarga suka bersantai. Sedih aku lihat keadaan dia. Mungkin dalam fikirannya bermacam-macam benda yang difikirkan. Apa nasibnya bila dimadukan? Adakah suami masih sayangkan dia seperti dulu sebelum kasih berbagi dua? Apa orang sekeliling kata padanya bila suaminya mahu nikah lain? Mungkin ada yang kata, "sebab tak pandai jaga suami!" Mungkin! Sebab manusia suka menilai tanpa tahu keadaan dan hakikat sebenar. 

Dah dua hari aku tengok akak iparku tidak makan apa pun! Tidur pun tak menentu! Sungguh aku yang lihat pun rasa sedih dan tak tertanggung apa yang dia rasa tika ini! Inikan pula dia sendiri yang sedang laluinya. Berat ujian dia kali ini! Maha suci Allah...

Tapi yang aku kagum pada dia, dia tetap melayan keperluan suaminya seperti sebelum ini walaupun dia sendiri terluka dengan perbuatan suaminya. Keperluan anaknya juga tak terabai. Aduhai, tabahnya hati seorang isteri yang dilukai. 

Ketahuilah para suami sekalian saat kalian menyatakan bahawa mahu beristeri seorang lagi, hati seorang isteri sudah hancur remuk berkecai. Mungkin untuk dicantum kembali pun tak akan berhasil. Patahnya hati seorang isteri bila dia tahu dalam hati suaminya bukan dia lagi yang pertama! Sebab dalam hati suaminya telah diisi dengan insan lain. 

Teringat kata-katanya, "rasa dah tak mampu nak buat apa dah. Hanya Allah yang tahu perasaan kak izan. Kak izan dah tak ada hati dan perasaan sekarang!" 

Bila seorang perempuan berkata TAK ADA HATI DAN PERASAAN, itu bermakna dia memang terluka di tahap paling maksimum. Sungguh! Ibaratnya hidup dia sudah tak bererti lagi. Kalau tak difikirkan orang-orang sekeliling yang masih peduli pada dia, aku rasa dia pun dah tak sudi untuk teruskan hidup lagi. Aku yakin bertahannya seorang isteri yang ingin dimadukan adalah sebab adanya anak di sisi dia. 

Sebenarnya aku sendiri pernah terfikir macam mana keadaan dimadukan. Ya, kalau lelaki boleh terfikir keadaan dia jika berpoligami, perempuan pun mesti akan terdetik di hatinya macam mana keadaan dimadukan. 

Aku pernah berkata pada diri aku sendiri,jika memang ditakdirkan aku akan hidup dimadukan, biarlah aku menjadi yang pertama. Sebab untuk menjadi yang kedua, ketiga dan keempat rasa sungguh tak sanggup. Hairan kan macam mana seorang perempuan boleh mahu menghancurkan hati seorang perempuan lain sedang dia sendiri perempuan. Atau sebenarnya aku lupa kata-kata mak, "Allah cipta manusia ni dengan macam-macam perasaan dan ragam. Tak mustahil semua benda tu, dik." 

Aku selalu berdoa moga aku dijauhkan jadi orang ketiga dalam hubungan suami isteri orang. Tak ada yang mustahil dalam dunia ni kan? Kalau sekarang aku protes dengan tindakan abang, tapi mana tahu aku sendiri yang akan menjadi punca keretakan rumah tangga orang lain suatu hari nanti! Allah... mohon dijauhkan. Moga semuanya baik-baik saja takdir hidup yang Allah rancangkan untuk aku. Ameen. 


No comments:

Post a Comment