Di luar tingkap, hujan turun mencurah-curah membasahi segenap alam. Dia sukakan hujan. Dari dulu lagi. Tapi kali ini bibir tidak boleh mengukir senyum menyaksikan hujan tersebut. Sesekali tangannya basah akibat titisan air mata yang turut mencurah-curah membasahi wajahnya. Sejak melangkah kaki naik atas bas itu, air matanya tidak mahu berhenti. Sama seperti hujan di luar ketika ini. Ah, wanita memang sudah sebati dengan air mata. Ibarat teman baik kala susah dan senang.
Bibirnya pula langsung tidak henti-henti menyebut kalimah suci "Lailahaillallah...". Dua buah buku yang menjadi teman setianya di atas riba itu dipeluk erat hingga ke dada. Seolah buku itulah nyawanya tika itu. Salah satunya ialah Al-Ma'thurat yang memang sudah sedia dibawa dari rumah sewa. Satu lagi ialah buku kecil dan nipis yang bertajuk "Apa itu taubat?". Buku itu baru beberapa jam yang lalu dibeli oleh seorang lelaki yang tiba-tiba naik atas bas tika bas berhenti di Hentian Duta. Tiga buah buku nipis itu diletakkan perlahan di atas ribanya. Dia membelek-belek ketiga-tiga jenis buku itu. Tapi dia lebih tertarik pada buku hijau yang bertajuk "Apa itu Taubat". Bukan dia suka hijau, jadi dia beli buku itu. Bukan! Tapi mungkin buku itu sesuai untuknya saat itu. Buku yang berharga tiga ringgit itu dia bayar kepada lelaki tersebut. Lelaki tersebut tersenyum dan berkata. "moga buku ini memberi manfaat." Dia tersenyum hambar.
Tadi semasa menunggu bas di Puduraya, dia membaca terjemahan al-Ma'thurat. Sesuatu yang jarang dilakukan. Syahdunya kata-kata di dalam kitab kecil itu. Ya, Allah tak akan membebankan hamba-Nya dengan ujian melainkan sesuai dengan tahap kemampuannya. Sekarang dia sudah faham. Faham tentang segala-galanya.
Alhamdulillah, dia sudah redha dengan ujian yang menimpa dirinya. Dia terasa semakin dekat dengan Sang Pencipta. Sekarang dia sudah pandai bangun malam untuk bertemu dengan Dia Yang Satu. Pada Dia, dia curahkan segala apa yang dia rasa. Tika menadah tangan, dia berdoa dengan begitu syahdu dan sayu. Air matanya menjadi saksi untuk segala-galanya. Pada dosa-dosa yang dilakukan selama ini. Pada kelalaiannya selama ini. Tuhan, dia begitu lalai dengan nikmatnya dunia.
Teringat beberapa bulan yang lalu, Allah sudah memberi petunjuk padanya di bulan Ramadhan, bulan yang penuh mulia. Tapi dia tak sedar. Dia tetap leka.
Akhirnya, kali ini Allah mengujinya dengan ujian yang sangat berat buatnya. Sampai dirasanya tak tertanggung. Allah itu baik kan? Dia tak terus biarkan dirinya terus terleka dengan dunia. Bila diuji begini, dia begitu dekat dengan al-Quran, begitu senang untuk bangun solat di malam hari (walaupun baru dua hari dia mula solat malam ini), begitu tenang mendengar alunan azan memanggil umat Islam untuk sujud pada Pencipta, begitu mudah sayu bila menadah tangan untuk berdoa pada Dia.
Sekarang apa yang dilakukan adalah hanya semata-mata kerana Dia. Inilah bahagia yang dia cari.
Dan sekarang dia sudah tahu apa yang mahu dilakukan. InsyaAllah jika tiada aral melintang, bulan 12 ini dia akan terus keluar dari rumah sewa. Ya, rumah yang banyak mencipta memori bersama-sama sahabat-sahabat yang disayanginya. Dia akan memulakan kehidupan baru, di tempat baru dan perasaan baru. Semuanya kerana Dia. Saban hari, dia tak pernah lupa untuk berdoa supaya diberi petunjuk.
Walaupun keputusannya belum rasmi. Pada ibunya juga belum dikhabarkan tentang rancangannya. Tapi ibu tak pernah halang keputusannya asal keputusannya yang terbaik buat dirinya. Ah, dia tiba-tiba rindu pada ibu. Berapa lama dia berada di sini, dia sendiri tak pasti. Jauh sungguh dia mencari ketenangan. Tapi dia akan segera pulang ke kampung untuk meneruskan kehidupannya di kampungnya yang tercinta. Dia mahu jadi anak yang solehah buat ibu ayahnya sebelum dia menutup mata tinggalkan bumi ini.
Kalau boleh, dia sudah tidak mahu menangis lagi. Biarlah air matanya hanya untuk Allah. Cukuplah dia rasa terseksa, rasa terluka dengan semua yang berkaitan dengan dunia. Biarlah air matanya demi untuk mendamba redha dari-Nya.
~~Aku mahu jadi aku. Diri sendiri, tanpa bias orang lain. Aku tak mahu dibayangi, atau sekadar jadi tempat berpaut. Aku mahu hidup. Aku mahu berdikari. Aku mahu bebas...~~
"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"
ternyata DIA tak pernah jauh...=)
ReplyDeletealhamdulillah.... :)
ReplyDelete"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan.
ReplyDeleteJika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"
cuba untuk menjadi seperti mereka yang dimaksudkan..
ReplyDelete