Begitu tenang dia setia di bawah bumbung perhentian bas itu. Walaupun hujan turun dengan begitu lebatnya, namun dia tetap menanti bas yang dinantinya akan hadir dengan segera. Walaupun telah berpuluh-puluh bas yang hadir dan berhenti di depannya sejak tadi, tapi itu semua bukan bas yang dinanti dari tadi.
Ada juga pemandu bas yang memanggil-manggilnya supaya naik bas mereka. Dia seolah-olah dipaksa. Dan yang lebih teruk lagi ada yang cuba yang menakutkan dia dengan berkata bahawa bas yang ditunggunya sudah terlepas dan itu adalah bas yang terakhir.
Dia menangis sendirian. Manusia disekelilingnya sudah tiada. Semua sudah bertemu dengan bas masing-masing yang akan membawa mereka ke destinasi yang ingin dituju. Sedang dia masih menanti. Aduhai!
Walau ada sejuta bas yang berhenti di depannya, dia tak mungkin akan naik bas tersebut melainkan hanya satu bas yang ditunggu. Bas yang akan membawanya ke destinasi yang selamat. Dia akan tetap bersabar menanti bas tersebut. Biarpun lambat tapi dia tetap akan tunggu. Dia tahu penantiannya tak akan sia-sia. Bas tersebut akan muncul.
Akhirnya, bas yang dinanti tiba jua. Pemandu bas tersebut tersenyum manis padanya. Dia bersyukur. Hatinya tenang. Tidak seperti tadi, dia gelisah sangat. Seolah-olah dia seorang sahaja yang tidak akan menemui destinasi yang mahu dituju.
Pemandu bas tersebut memohon maaf padanya kerana lambat. Dia tidak kisah lambat macam mana sekalipun, asal bas itu sudah datang untuk menjemputnya. Itu sudah cukup baginya.
Teringat sebuah hadis yang dibacanya di dalam twitter. Ya, twitter TeladanRasul. Ia betul-betul wujud tau! Kalau tak percaya boleh search. Dia suka follow twitter yang suka tweet hadis-hadis dan terjemahan al-Quran. Banyak pahala yang mereka dapat bila seorang baca dan kemudian retweet pula status tersebut. Aduhai, senang sekali mahu kumpul pahala di zaman moden zaman sekarang kan? Asal kita pandai dan bijak menggunakan internet sebaik mungkin. Tapi senang juga nak kumpul dosa melalui internet atau laman-laman sosial seperti facebook dan twitter kan? Semuanya bergantung pada individu itu sendiri.
Oh, hampir terlupa hadis tersebut. Hadis yang berbunyi "Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan pada seorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar (Hadis Riwayat al-Hakim)"
Alhamdulillah, berkat kesabarannya menunggu bas tadi. Dia mendapat rezeki dari Allah iaitu dapat tiba ke destinasi dengan selamat. Cuba bayangkan kalau dia naik juga bas lain, entah ke mana-mana la bas itu akan membawanya kan?
Begitu juga ibarat hidup. Kita manusia ibarat menunggu bas. Ya, bas yang akan membawa kita ke arah kebaikan atau bas yang akan membawa ke arah kemaksiatan atau kemungkaran. Memang kita benci menunggu bas. Bas selalu lambat tiba. Terutama bas yang akan membawa kita ke destinasi kebaikan. Macam-macam dugaan yang perlu kita tempuh sepanjang masa menunggu bas. Kita diganggu lelaki-lelaki gatal yang suka mengganggu gadis-gadis seperti kita. Ditambah dengan cuaca yang sering tidak menentu, kadang-kala panas, kadang-kala hujan, kadang-kala ribut taufan dan macam-macam lagi.
Begitu juga kehidupan, dalam saat meneruskan kehidupan, kita sering diuji dengan ujian yang kadang-kala rasa tak tertanggung oleh diri. Untuk berjalan terus kepada 'destinasi' yang kita mahukan Allah akan uji kita dulu. Bila kita dapat hadapi ujian tersebut, maka ganjaran dari Dia juga pastinya hebat juga kan?
Tapi insyaAllah, penantian dicampur dengan cabaran dan ujian tersebut pasti akan berbayar bila bas yang dinanti tersebut hadir dan akan membawa kita ke destinasi yang selamat. Atau lebih tepat dikatakan ke destinasi yang sebenar-benarnya iaitu syurga abadi.
Semoga setiap dari kita telah menaiki bas yang akan membawa kita ke destinasi yang sebenar-benarnya (Syurga Ilahi). Dan jika kita masih belum menaiki mana-mana bas lagi dan masih lagi menunggu bas tersebut hadir, ada masa lagi untuk kita berfikir untuk memilih bas terbaik yang akan membawa kita ke jalan yang diredhai-Nya. Namun, jika kita sudah tersalah menaiki bas yang membawa kita ke destinasi yang 'salah', kita masih boleh tekan butang loceng untuk berhenti dan turun dari bas tersebut. Kita masih boleh patah balik untuk kembali ke perhentian tadi dan mengambil bas yang sebetul-betulnya yang akan membawa kita ke destinasi yang benar. Allah sentiasa menerima kita asal kita tahu makna 'taubat'.
*idea terhasil saat tunggu bas semalam*
-Tulip Sayang-
No comments:
Post a Comment