"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Tuesday, December 4, 2012

Plan 'bahagia' di hari lahir (Saya sudah 25!)

Bismillah..

4 Disember.. oh, hari ni birthdayku yang ke-25.

Sebenarnya tak ada apa yang menarik pun nak diceritakan pada hari kejadianku walaupun sebenarnya dah 25 tahun aku wujud di dunia. Dan sepatutnya ada bermacam-macam perkara yang boleh aku ceritakan tapi tak perlu la aku ceritakan satu persatu rutinku. Kan?

Aku di kampung ketika ini. Ini yang sadisnya. Sebab dalam rumah ni langsung tak ada yang ingat bahawa hari ini adalah hari istimewa aku. Sebenarnya aku tak kisah pun. Sebabnya mak ayah aku bukan jenis yang ingat hari lahir aku pun, lagipun bukan hari lahir aku je yang mak tak hafal malah kesemua kami 4 beradik. Apa yang nak dihairankan, mak ayah aku pun dah tua, bukan jenis yang moden seperti mak ayah orang lain seperti yang aku selalu tengok dalam tv. Kalau tiba-tiba mak buat surprise birthday party, itu menghairankan. :p

Apa yang menariknya ye di hari ni? Apa yang patut aku buat ye untuk membuatkan aku gembira menyambut hari lahir ni ye... mungkin...

1) Membeli sebiji kek. Walaupun sebenarnya aku tak mahu orang dalam rumah ni tahu bahawa ini adalah hari lahirku. Dan, membuatkan semua orang dalam rumah ni gembira. Sekurang-kurangnya bukan untuk kegembiraan aku tapi untuk anak-anak buah aku yang kebetulan datang bercuti di sini. Tak perlu kek, mungkin aku beli pelbagai snek, coklat, gula-gula dan sewaktu dengannya. Okey la macam ni..

2)Membeli hadiah untuk diri sendiri. Mungkin tak perlu sebab aku tak perlu apa-apa  untuk diri aku pun. Lagipun sungguh la hai, masalah di rumah ni membuatkan aku langsung tak bersemangat nak menggembirakan hati aku sendiri. Apa yang aku fikir sekarang, mahu segera pulang KL. Oh, mungkin pulang ke KL boleh dijadikan hadiah untuk diri sendiri sebab ini saja satu-satu perkara yang membahagiakan aku. Heh... Okey la macam ni..

3) Menghabiskan bacaan Twilight siri kedua : New Moon. Aku tak tahu kenapa aku perlu membaca kisah Bella yang bercinta dengan pontianak dan seperti mayat hidup bila ditinggalkan Edward, kekasih hatinya yang merupakan seorang (seekor) pontianak. Aku kira membaca novel ini langsung tak memberikan kebahagiaan kepadaku sebaliknya aku menangis teresak-esak bila Edward meninggalkan Bella. Mungkin aku patut tukar baca novel lain yang boleh menggembirakan sedikit aku pada hari lahir aku. Atau mungkin tak perlu, sebab aku suka juga watak Bella. Jadi aku akan terus membaca novel ini. Okey la macam ni..

4) Memasak sesuatu yang istimewa. Tapi bila ku buka dalam peti ais, hanya ada 4 ekor ikan dan sayur kubis. Jadi menu hari lahirku hanya ikan goreng dan sayur kubis.. em, dan sedikit sambal belacan. Okey juga macam ni sebab semua orang dalam rumah ni keluar untuk makan tengah hari di rumah Mak Dak di Selendang 1 (aku tak ikut dengan alasan sakit perut). Dan aku hanya perlu memasak untuk diri sendiri. Ikan goreng special di hari lahir. Okey la macam ni...

5) Mendengar radio THR Gegar. Ini adalah siaran radio kegemaran aku bila di rumah yang sesekali DJ nya akan memutarkan lagu-lagu hindi (hindustan la). Dan sebenarnya lagu-lagunya lebih banyak kepada lagu-lagu 90-an. Hairan ye kenapa untuk hari lahir aku ni aku tak dengar lagu yang boleh menceriakan sedikit mood aku yang sememangnya sudah murung 2, 3 hari ini. Alahai...

6) Merangka sedikit angan-angan. Contohnya, bila aku bangun tidur dan buka mata, seorang kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan 3 tahun datang ke atas katilku dan mencium pipiku sambil berkata, "ummi, selamat hari lahir!!!!!!!!!!!!!" Oh, aku sudah ada anak. Dan....... okey, angan-anganku terlalu jauh ke depan mungkin. *ketuk kepala supaya sedar dan kembali ke alam nyata*

Sadis betul hari kejadianku ini. Sampai aku terpaksa berpura-pura untuk membahagiakan diriku sendiri. Tapi alhamdulillah aku masih diberi kesempatan untuk bernafas atas muka bumi ini dan insyaAllah aku akan cuba jadi yang terbaik lagi untuk hari ini, esok dan seterusnya. Ya Allah berkati hidupku di dunia & akhirat. Ameen. :)

Terima kasih untuk yang yang masih ingat hari lahir aku walaupun aku tak publish tarikh lahir aku di facebook :

1) Mohamad Aminuddin. Insan yang hadir dalam hidup aku untuk hampir 8 bulan sudah.
2) Sahabat-sahabat housemate yang sentiasa aku sayang sampai syurga : Cik Dura, Cik Ain Ali, Cik Hafizza & Cik Nuha Sara.
3) Kakakku dunia akhirat : Kak Cik & Kak ipar : Kak Izan.

Tak apa la, sekurang-kurangnya ada jugak yang ingat kan. Ini pun sangat membahagiakan okey. :)

3 comments:

  1. cik tulip, rasa macam nak terbang je temankan awak~~

    ReplyDelete

  2. meh la terbang datang sini.. kita tunggu kat tepi tingkap ni... hik3

    ReplyDelete