"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Monday, December 31, 2012

2013 : Lebih Istimewa

Malam terakhir untuk tahun 2012. 

Seperti tahun-tahun baru yang lepas, tiada apa yang istimewa. Tapi yang lebih istimewa sentiasa ada. Yang lebih istimewanya, aku masih diberi kesempatan untuk terus bernafas di atas muka bumi ini. Alhamdulillah. Walaupun terasa banyak kekhilafan yang aku lakukan, tapi Allah sentiasa sayangkan aku, sayangkan kita, hambanya. 

Itu sebenarnya sudah memadai bagi insan kerdil seperti aku di atas muka bumi ini. Apa lagi yang dapat aku lakukan melainkan terus menjalankan tanggungjawab aku sebagai hamba-Nya. 

Tercapaikah semua azam aku untuk tahun 2012?
Mungkin aku pernah senaraikan 2 atau 3 azam yang mahu dicapai untuk tahun ini. Yalah, kalau langsung tidak ada azam, ibaratnya seperti hidup aku tidak bertujuan pulak kan? Alhamdulillah segala nikmat dan rezeki yang aku terima, semuanya aku anggap azam yang telah aku capai. Sekurang-kurangnya aku menjadi insan yang bersyukur. Yang masih berbaki yang belum sempatku lunaskan, semoga Allah memberi kemudahan untukku menyempurnakannya. Ameen. 

Azam 2013?
Aku tidak pernah takut untuk terus mencipta azam walaupun apa yang aku hajatkan di tahun lalu belum tercapai. Aku mahu bersungguh-sungguh bila aku ada azam dan keinginan. 

Aku yakin tak semua yang aku hajatkan dan aku harapkan, aku akan dapat dengan semudah memetik jari. Aku perlu lalui dengan ujian dan cabaran yang penuh berliku. Sampai satu waktu aku akan tahu sama ada aku berjaya atau tidak. Berjaya atau tidak, aku yakin Allah sudah titipkan hikmah yang banyak untuk aku renung dan muhasabah diri kembali. 

Saturday, December 29, 2012

kehilangan...



Bismillah...

Dengan sedikit kekuatan yang ada, bersama linangan air mata ku gagahi untuk menaip di sini. Entah kenapa aku rasa selesa ingin meluahkan semua rasa yang sedang aku hadapi ketika ini di sini. Mungkin salah satu sebabnya aku sudah kehilangan tempat mengadu, semua kawan baik dah jauh berbatu-batu dari aku. Lain rasanya meluahkan perasaan di alam maya berbanding bila berhadapan dengan mereka. Atau mungkin aku sudah kehilangan kawan-kawan baikku. Allah... sedih rasanya.

Jauh dengan sahabat-sahabat, jauh juga dengan mak ayah. Allah benar-benar sedang menguji diri ini. Satu-persatu ditarik pergi dari aku.

Malam sebelum datang ke sini.
Hati memang rasa langsung tidak tenang. Takut. Takut dengan nasib diri sendiri sebenarnya. Aku sedang memperjudikan nasib diri akukah ketika ini? Itu yang aku terfikir. Seharusnya aku tidak berfikir sebegini. Seolah-olah aku melawan ketentuan Ilahi yang sudah menetapkan jalan aku di sini. Jalan yang sangat Dia redhai.

Atau sebenarnya bila aku berperasaan begitu adalah disebabkan niat aku sendiri datang ke sini. Aku mengaku bahawa niatku bukan kerana Allah. Aku nampak perjalanan hidupku di sini nampak susah, sukar, tidak dipermudahkan... Semua urusanku sejak aku di kampung sampailah ke sini langsung seperti ada sebiji batu besar yang menghalang laluanku. Emosi yang tak stabil. Mana hilangnya perasaan bahagia itu? Ya Allah, ini petunjuk dari-Mu.

Sememangnya aku patut diuji sebegini. Biar aku sedar. Sedar dan bangkit dari dunia khayalan cinta dunia. Aku leka. Sangat leka. Lalai. Lalai menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang hamba. Layakkah aku menempuh kerjaya ini sedangkan diri aku sendiri langsung tak terbimbing?

Perbetulkan niat kembali! Memang senang untuk diungkapkan. Hakikat bila diri sendiri terpaksa lalui baru terasa betapa susahnya. Sesenang bila kita menyuruh seseorang bersabar bila ditimpa ujian, tapi hakikatnya bila diri sendiri diuji, baru tahu tinggi rendahnya langit.

Sungguh sekarang bila aku kehilangan semua insan yang aku sayang, baru aku sedar diri ini hanya ada Allah. Aku perlu berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu mengharapkan pertolongan, dorongan, nasihat atau kasih sayang dari sesiapapun melainkan cuma DIA.

Susah rasanya mahu bangkit kembali bila terjatuh sebegini. Susah rasanya untuk kembali berdiri di jalan yang lurus bila sedar betapa diri ini sudah jauh terpesong.

Sungguh ya Allah terasa dah tak kuat untuk teruskan semua ini. Tapi mustahil untuk aku kembali pada kehidupan lama aku. Aku dah pilih jalan ni. Aku kena lalui jua. Walau sesukar mana sekalipun aku perlu teruskan juga. Aku perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Aku perlu untuk hidup gembira.

Hidup aku bukan kerana dia, tapi DIA.


Friday, December 21, 2012

Lao Shi, wo ai ni... ^^

Bismillah...

Alhamdulillah, sepanjang 5 hari ni aku berjaya lalui dengan sungguh cemerlang. Syabas untuk diri sendiri. Eh bukan senang tau benda yang kita tak suka tapi kita terpaksa buat-buat suka. Sebenarnya aku rasa ramai yang macam nak perli-perli aku je (walaupun pemerlian ini ditujukan secara umum tapi ku tetap terasa), tapi apakan daya semua yang dikatakan mereka adalah benar-benar belaka.

Contohnya kata-kata seperti ini :
"Sape-sape yang rasa ini satu paksaan, perbetulkan balik niat tu. Tanggungjawab & amanah yang digalaskan di bahu kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Ingat baik-baik!"

"Ikhlaskan diri."

"Ingat, ni kerja mulia!"

...dan bermacam-macam lagi kata-kata yang aku dapat.

Aku pun sebenarnya tak berapa nak ikhlas terima kerja dan amanah ni. Teruk kan? huhu.. InsyaAllah akan ku perbetulkan niat ku. Aku akan cuba bahagia dengan pekerjaan aku sekarang.

Dan sebenarnya semangat aku untuk menyambung master tetap berkobar-kobar. Nak2 ada juga sesetengah lecturer yang mengajar setiap memberi dorongan, suruh sambung belajar. Jangan berhenti belajar!

Master... im coming!!!!!!!!!!!!!!!!

Thursday, December 13, 2012

berfikir jauh...

Bismillah..

D-13-18, Perumahan Pantai Permai : 1.02 am

Di malam yang sepi ini, ku duduk di luar bilik bersendirian. Masih menaip bait-bait kata. Mungkin untuk kali yang terakhirnya aku di sini. Sedih rasanya mahu meninggalkan tempat yang telah ku huni hampir lima tahun lamanya bersama-sama sahabat yang ku sayang, mencipta memori suka duka bersama.

Okey, aku terlebih dramatis barangkali. Aku masih ada beberapa minggu lagi. Barang-barang juga masih banyak di sini. Tak payah nak ucap selamat tinggal sangat la.

Cuma entri kali ni mungkin lebih aku tujukan pada sahabat-sahabat yang aku sayang dunia & akhirat. Bai, Tati, Enul, Diya... alahai sedih rasanya mahu menghentikan kenangan yang terbina di sini rasanya. Aku seakan-akan masih belum merelakan. Masih tak bersedia lagi. Masih tak bersedia nak berjauhan dengan mereka sebab merekalah keluarga yang aku sayang.

Kadang-kadang aku sendiri tak pasti betul atau tidak apa yang aku lakukan. Keputusan yang dibuat masih terasa ragu-ragu. Banyak nasihat yang aku terima sebelum aku membuat keputusan. Dan lagi aku tahu keputusan yang aku buat ni sedikit sebanyak membahagiakan mak ayah di kampung. Tapi yang sedihnya aku berjauhan dengan mereka.

Aku pernah terfikir mahu terus tinggal di kampung tapi siapalah aku. Aku hanya seorang anak gadis yang suatu hari nanti akan berkahwin dan akan mengikut suami aku. (Tu pun kalau aku kahwin la) . Tadi borak-borak dengan Ayiem, kata Ayiem dia mahu jaga mak dan ayahnya di kampung. Aku cakap, aku jeles. Sungguh aku cemburu. Bukan aku cemburu sebab dia lelaki, aku perempuan tapi aku cemburu sebab dia diberi kesempatan untuk berfikir atau sekurang-kurangnya merancang melakukan sebegitu.

Mungkin suatu hari nanti bila aku sudah menjadi seorang ibu yang tua dan anak-anakku semua sudah dewasa dan membawa haluan masing-masing. Aku juga akan ditinggalkan sendirian bersama suami aku. Dan mungkin ketika itu baru aku akan mengerti atau merasai beban kesunyian yang ibu & ayah aku tanggung. Beban yang terpaksa ditanggung seorang ibu bila berjauhan dengan anak-anaknya.

Tuesday, December 4, 2012

Plan 'bahagia' di hari lahir (Saya sudah 25!)

Bismillah..

4 Disember.. oh, hari ni birthdayku yang ke-25.

Sebenarnya tak ada apa yang menarik pun nak diceritakan pada hari kejadianku walaupun sebenarnya dah 25 tahun aku wujud di dunia. Dan sepatutnya ada bermacam-macam perkara yang boleh aku ceritakan tapi tak perlu la aku ceritakan satu persatu rutinku. Kan?

Aku di kampung ketika ini. Ini yang sadisnya. Sebab dalam rumah ni langsung tak ada yang ingat bahawa hari ini adalah hari istimewa aku. Sebenarnya aku tak kisah pun. Sebabnya mak ayah aku bukan jenis yang ingat hari lahir aku pun, lagipun bukan hari lahir aku je yang mak tak hafal malah kesemua kami 4 beradik. Apa yang nak dihairankan, mak ayah aku pun dah tua, bukan jenis yang moden seperti mak ayah orang lain seperti yang aku selalu tengok dalam tv. Kalau tiba-tiba mak buat surprise birthday party, itu menghairankan. :p

Apa yang menariknya ye di hari ni? Apa yang patut aku buat ye untuk membuatkan aku gembira menyambut hari lahir ni ye... mungkin...

1) Membeli sebiji kek. Walaupun sebenarnya aku tak mahu orang dalam rumah ni tahu bahawa ini adalah hari lahirku. Dan, membuatkan semua orang dalam rumah ni gembira. Sekurang-kurangnya bukan untuk kegembiraan aku tapi untuk anak-anak buah aku yang kebetulan datang bercuti di sini. Tak perlu kek, mungkin aku beli pelbagai snek, coklat, gula-gula dan sewaktu dengannya. Okey la macam ni..

2)Membeli hadiah untuk diri sendiri. Mungkin tak perlu sebab aku tak perlu apa-apa  untuk diri aku pun. Lagipun sungguh la hai, masalah di rumah ni membuatkan aku langsung tak bersemangat nak menggembirakan hati aku sendiri. Apa yang aku fikir sekarang, mahu segera pulang KL. Oh, mungkin pulang ke KL boleh dijadikan hadiah untuk diri sendiri sebab ini saja satu-satu perkara yang membahagiakan aku. Heh... Okey la macam ni..

3) Menghabiskan bacaan Twilight siri kedua : New Moon. Aku tak tahu kenapa aku perlu membaca kisah Bella yang bercinta dengan pontianak dan seperti mayat hidup bila ditinggalkan Edward, kekasih hatinya yang merupakan seorang (seekor) pontianak. Aku kira membaca novel ini langsung tak memberikan kebahagiaan kepadaku sebaliknya aku menangis teresak-esak bila Edward meninggalkan Bella. Mungkin aku patut tukar baca novel lain yang boleh menggembirakan sedikit aku pada hari lahir aku. Atau mungkin tak perlu, sebab aku suka juga watak Bella. Jadi aku akan terus membaca novel ini. Okey la macam ni..

4) Memasak sesuatu yang istimewa. Tapi bila ku buka dalam peti ais, hanya ada 4 ekor ikan dan sayur kubis. Jadi menu hari lahirku hanya ikan goreng dan sayur kubis.. em, dan sedikit sambal belacan. Okey juga macam ni sebab semua orang dalam rumah ni keluar untuk makan tengah hari di rumah Mak Dak di Selendang 1 (aku tak ikut dengan alasan sakit perut). Dan aku hanya perlu memasak untuk diri sendiri. Ikan goreng special di hari lahir. Okey la macam ni...

5) Mendengar radio THR Gegar. Ini adalah siaran radio kegemaran aku bila di rumah yang sesekali DJ nya akan memutarkan lagu-lagu hindi (hindustan la). Dan sebenarnya lagu-lagunya lebih banyak kepada lagu-lagu 90-an. Hairan ye kenapa untuk hari lahir aku ni aku tak dengar lagu yang boleh menceriakan sedikit mood aku yang sememangnya sudah murung 2, 3 hari ini. Alahai...

6) Merangka sedikit angan-angan. Contohnya, bila aku bangun tidur dan buka mata, seorang kanak-kanak perempuan berumur dalam lingkungan 3 tahun datang ke atas katilku dan mencium pipiku sambil berkata, "ummi, selamat hari lahir!!!!!!!!!!!!!" Oh, aku sudah ada anak. Dan....... okey, angan-anganku terlalu jauh ke depan mungkin. *ketuk kepala supaya sedar dan kembali ke alam nyata*

Sadis betul hari kejadianku ini. Sampai aku terpaksa berpura-pura untuk membahagiakan diriku sendiri. Tapi alhamdulillah aku masih diberi kesempatan untuk bernafas atas muka bumi ini dan insyaAllah aku akan cuba jadi yang terbaik lagi untuk hari ini, esok dan seterusnya. Ya Allah berkati hidupku di dunia & akhirat. Ameen. :)

Terima kasih untuk yang yang masih ingat hari lahir aku walaupun aku tak publish tarikh lahir aku di facebook :

1) Mohamad Aminuddin. Insan yang hadir dalam hidup aku untuk hampir 8 bulan sudah.
2) Sahabat-sahabat housemate yang sentiasa aku sayang sampai syurga : Cik Dura, Cik Ain Ali, Cik Hafizza & Cik Nuha Sara.
3) Kakakku dunia akhirat : Kak Cik & Kak ipar : Kak Izan.

Tak apa la, sekurang-kurangnya ada jugak yang ingat kan. Ini pun sangat membahagiakan okey. :)