Bismillah...
Baru-baru ni masa balik kampung, mak kata nak ubah jelapang padi yang sudah bertahun lamanya duduk sebelah rumah. Mak kata, mak nak buat bangsal untuk kereta. Jadi jelapang padi yg kecil tu mesti diubah.
Biasa memang macam tu, bila setiap kali dapat duit hasil tuai padi mak akan besarkan rumah. Rumah yang kecil lama-lama jadi besar sikit demi sikit. Sebab pendapatan kami sekeluarga memang bergantung sepenuhnya pada tanah sawah seluas 9 ekar tu.
Jelapang padi tu mak ubah letak kat belakang rumah, dah dekat dengan kebun rambutan mak. Teringat masa kecik-kecik dulu, jelapang padi tu jadi tempat kami (dengan kak cik) main. Dalam jelapang padi tu biasanya ayah akan letak benih padi untuk tanaman padi seterusnya. Tapi kami suka main dalam tu. Ayah pun tak pernah marah kami main dalam tu.
Dulu belakang rumah kami ada sawah padi. Bila musim padi dituai, kami akan ambik jerami padi banyak-banyak, lepas tu letak dalam jelapang padi. Masa kecik-kecik dulu suka sangat baring atas jerami padi. Rasa lembut sangat. Macam baring atas tilam yang lembut. Bila dah malam baru rasa gatal-gatal badan sebab miang padi. :)
Kalau main sorok-sorok dengan sepupu-sepupu kat sawah lagi seronok. Main ikut suka hati je nak baring atas jerami sampai badan terbenam masuk dalam jerami padi yang tinggi tu. Kesian kat orang yang kena cari kami tu mesti tak jumpa. :)
Lagi aktiviti best masa musim tuai padi main layang-layang. Layang-layang tu biasa kami buat sendiri. Guna surat khabar, lidi, gam, benang. Simple!
Jarang sangat layang-layang aku nak naik tinggi-tinggi. Sedih sungguh la! Selalu tengok yang orang je la. Dan kalau ada yang baik hati (biasa sepupu lelaki) mesti diorang bagi pegang tali layang-layang yang dah dinaikkan tinggi di awan biru. Masa tu baru rasa macam mana seronoknya main layang-layang dan baru tahu macam mana nak kawal layang-layang supaya tak jatuh ke tanah.
Itu kisah lalu.. Kisah beberapa belas tahun yang lalu..
Sekarang mak dah tak bagi pergi sawah selalu. Ayah dah tak bagi ikut dia pergi membajak di sawah. Ayah kata budak perempuan kena duduk rumah buat kerja rumah. Serius sangat rindu nak main lumpur sawah, terjun sungai, panjat pokok. (Hakikatnya ku dah dewasa kini!)
Budak-budak zaman sekarang pun dah tak pandai main layang-layang kat sawah. Dan tak pandai main soro-sorok di sawah macam kami dulu-dulu. Sebab budak-budak sekarang hanya pandai main permainan yang ada dalam komputer.
Tanah sawah dah sunyi. Dah tak ada dengar bunyi riuh rendah budak-budak main kat sana. Hanya orang-orang macam ayah yang selalu memeriahkan tanah sawah. Sebab tanah sawah dah jadi sebahagian dari hidup ayah dan petani-petani lain.
Dan sekarang aku makin jauh dengan tanah sawah yang membesarkan aku. Bila sesekali balik kampung dapat cium bau sawah rasa sungguh bahagia. Sebab di situlah aku membesar! Dan di situ lah terbinanya kenangan indah yang sampai sekarang ku simpan kemas di ingatan.
apa beza jelapang padi dengan sawah padi?
ReplyDeletejelapang padi tu tempat simpan benih padi...sawah padi tu tempat untuk tanam padi.. hehe... :p
Delete