"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Sunday, August 14, 2011

untuk beliau....

Sebenarnya sudah lama mahu menulis entri ni. Aku mahu post sesuatu untuk Liana Afiera Malik. Oh, pasti orang yang tak suka baca novel akan tertanya-tanya siapa beliau. Beliau ialah adalah salah seorang penulis novel yang sangat kagumi suatu ketika dulu.

Dan... Sebenarnya 'Bukan Puteri Lindungan Bulan' yang aku gunakan sebagai tajuk blog aku ini juga aku ambil sempena nama novel beliau. Alhamdulillah, novel yang banyak memberi manfaat kepada aku. Untuk menjadi manusia tabah seperti Larasati 'Aisya.

Tanggal 3 ramadhan beliau telah meninggal dunia. Semoga rohnya tenang di sana dan ditempatkan di sisi orang yang beriman. Agak terkilan sedikit sebab aku tidak dapat melihat wajahnya hingga ke akhirnya.

al-fatihah.

Monday, August 8, 2011

Noktah.


Terasa begitu susah untuk memahami hati dan perasaan aku di ketika ini. Sebenarnya aku mengharapkan ia berakhir apabila aku meletakkan tanda noktah di hati aku. Tetapi kadang-kadang aku rasa begitu terbuai dengan keayikan perasaan sendiri. Sebenarnya perasaan yang wujud ini lebih kepada 'sakit'.

Ibaratnya aku menanti hujan datang dengan penuh sabar di tepi jendela. Mengharapkan titis-titis hujan ini dapat menyejukkan perasaan dan mendamaikan hati tika kegusaran bertandang. Namun bila hujan itu hadir dalam hidup aku, aku terpaksa mengharapkan agar ia segera berlalu dari hidup aku. Walau hakikat sebenar bukan itu yang aku pinta. Aneh kan? Aku terpaksa mengusir jauh-jauh sesuatu yang aku suka dari hidup aku.

Apabila teringatkan tentang hakikat diri yang terlalu banyak dosa di muka bumi ini, terasa betapa aku tidak layak untuk mengharap atau meminta apa pun jua. Hatta untuk setitis hujan sekalipun! Sedihnya kan?

Mengertikah sang hujan tentang perasaan aku ketika ini? Atau bahasa aku ini terlalu puitis sehingga begitu payah sekali untuk dicerna oleh otak? Atau sebenarnya aku saja yang mengharap agar sang hujan datang dalam hidup aku, sedang sang hujan hanya turun mengikut kebiasaannya saja? Mungkin ini yang dikatakan keinginan sebelah pihak atau...... bertepuk sebelah tangan? Begitukah? Oh, terlalu banyak persoalan yang perlu dirungkai bila ianya melibatkan tentang hati.

Mengapa ya setiap apa yang aku rasa di saat ini aku perlu kaitkan dengan sesuatu yang pernah terjadi dalam hidup aku di suatu masa dahulu? Tidak bolehkah aku terus berjalan ke hadapan tanpa berpaling ke belakang? Hmm... tengok, aku masih timbulkan persoalan lagi. Yang aku kira akan membuat otak yang sedia serabut bertambah serabut.

Ya, aku sedar aku memang tidak layak untuk mengharap pada sang hujan lagi. Jadi, aku perlu letakkan tanda noktah dalam hati aku supaya ianya tidak akan berterusan. Cukup sampai di sini saja sang hujan. Ah, sadisnya! Kenapa kehidupan aku begitu sadis sekali ya? Mungkinkah jika anak aku wujud suatu hari nanti dan membaca catatan-catatan aku ini, dia akan berkata "tragisnya kisah hidup ummi!" Dan aku akan tersenyum padanya.

Dan aku akan katakan padanya "hidup ini tidak akan sempurna jika tidak diwarna-warnikan dengan pelbagai warna. Kadang-kala warna putih yang hadir, dan ada ketikanya warna hitam yang menyelubungi hidup ini. Dan siapalah kita untuk menolak setiap takdir yang memang telah ditetapkan sejak azali lagi."

Semoga pengakhiran kisah hidup aku diwarnakan dengan warna yang indah satu hari nanti. Ameen.

Yang Mengharap,
Tulip Sayang.

Thursday, August 4, 2011

mimpi

Semalam aku mimpi. Mimpi yang aneh. Tak pernah seumur hidup aku mimpi aku berada di luar Negara, tapi semalam aku mimpi aku berada di Amsterdan. Tapi yang peliknya bukan aku yang belajar di Universiti di sana, tapi kawan-kawan aku. Tati pun ada. Aku pergi hanya sebagai tetamu mereka, untuk melawat kawan-kawan aku di sana. Aku tak nampak bunga tulips yang aku suka sangat tu, tapi aku nampak bunga lain. Bunga yang aku sendiri tak pasti dan tahu apa namanya. Cantik, tapi tak secantik tulips. Itu aku sangat pasti!

Yang lucunya aku ke Holland dengan kereta api! Tapi kereta api ini tak macam kereta api Lanzhou-Beijing. Kereta api ini laju sangat. Sampai aku kena berpaut pada tiang-tiang di dalam kereta api tersebut. Dan penumpangnya juga tak ramai. Tidak seramai seperti dalam kereta api Lanzhou-beijing. Ah, kenapa aku mesti membandingkan semua perkara dengan keadaan di China. Bukankah setiap tempat ada keistimewaan tersendiri. Hmmm… mimpi tu aneh sekali!

Amsterdan! Tempatnya sangat aman. Cuacanya tidak sesejuk di China. Tengok, aku masih membandingkan dengan keadaan di China. Ya, aku sangat rindukan bumi China. Oh, lupa nak cerita aku ada mimpikan Lanzhou juga. Aku mimpikan tadika tempat aku mengajar kanak-kanak yang comel. Yang anehnya aku mengajar mereka dalam bahasa melayu dan mereka faham setiap kata-kata aku. Mimpi ini memang aneh kan? Tapi aku suka dapat mimpi seperti ini. Dapat mengubat kerinduan aku pada insan-insan yang aku tinggalkan di China. Kenangan seperti itu memang seronok dikenang. J

Dan lagi… ini mimpi paling seronok sekali. Aku mimpikan pingu aku. Rindunya aku pada dia. Entah apa khabar dia agaknya dengan tuan baru dia. Dulu, masa aku di China pingu tu selalu jadi peneman aku. Terutama ketika aku sejuk sangat-sangat dan ketika aku berada dalam kesedihan. Anehnya, biarpun dia hanya seekor patung kecil, aku rasa jadi senang dapat meluahkan segala kesedihan aku pada dia. Boleh tak kalau aku nak balik pingu aku tu? Hikhik….

Indahnya mimpi-mimpi yang menemani aku saban malam (walaupun banyak yang anehnya juga), sampai terkadang rasanya tidak mahu terjaga dari tidur saja. Tapi aku tahu mimpi hanyalah mimpi. Mimpi tidak akan boleh berubah menjadi kenyataan. Dan aku.. aku sedar tentang hakikat itu. Ya, semua mimpi-mimpi itu adalah impian yang pernah aku karang di awan biru suatu masa dahulu. Dan aku sendiri tak pasti sama ada impian aku akan jadi kenyataan atau tidak. Manusia memang pandai mengarang impian, dari hujung dunia hingga ke hujung dunia pun manusia mampu karang. Tapi untuk merealisasikan setiap impian itu, ah kenapa begitu sukar ya? Atau jawapannya ialah…. Belum tiba masanya untuk impian-impian tersebut menjadi kenyataan? Betul ke?

Dan sebagai hamba Allah, aku bersyukur dengan setiap apa yang Allah kurniakan buat masa ini. Aku tidak akan pernah mengharap untuk mendapat yang lebih-lebih lagi. Cukup sampai di situ aku karang impian-impian aku. Dan untuk pengetahuan semua (yang sudi baca blog ini), aku bahagia sekali ada impian yang indah seperti ini. J

Tuesday, July 26, 2011

Menjaga Hati...

Pernah tak terjadi bila kata-kata seorang langsung membuatkan diri terasa tidak berguna? Walau hakikat kejadian tidaklah sebegitu! Dan sebenarnya mereka hanya mampu berkata-kata tapi langsung tidak mempedulikan perasaan orang lain. Kenapa ya mesti suka dengki, cemburu, iri hati pada kelebihan orang lain?

Berbalik pada tajuk di atas 'menjaga hati'.... Aku akui aku manusia yang tidak pandai menjaga hati orang lain... Tapi aku akan lebih berhati-hati untuk tidak melukai hati & perasaan orang lain. Sebab tu bila aku terasa hati atau terluka, aku akan lebih banyak mendiamkan diri sendiri.

Hakikatnya mereka tidak pernah tahu tentang kisah aku... Mereka boleh berkata ikut suka hati mereka, asal mereka puas... Wahai manusia, berfikirlah sebelum berkata-kata... Jika kau ada hati, dia pun ada hati... Jika kau tahu untuk merasa sakit hati, dia pun pasti akan rasa benda yang sama...

Haisy... Nampak sangat yang di ketika ini aku sangat-sangat sakit hati!!!!

Dan betullah, persahabatan yang dibina bertahun-tahun lamanya tak bisa membuatkan orang untuk kenal dan faham diri kita....

*sadis kannnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn*

Monday, July 25, 2011

sang puteri yang dalam kesedihan....


ambil benang untuk dikait,
sambil membelah sebiji kuini,
cantik bulan di dada langit,
tapi tidak secantik hati ini.

aduhai tuan usah merasa perih,
andai rahsia di hati sukar diteka,
aduhai hati, hati yang sedih,
mengapa begitu cepat terluka?

usah tuan pandang dan termenung,
jika hanya berharap pada sang siput,
usah diharap pada tingginya gunung,
jika diri hanya setinggi rumput.

(pantun ini direka oleh Cik Tulip, tidak dikopipes di mana2 pages... sbb itu agak aneh bunyinya... ada???? )

MOTIP DI SEBALIK PANTUN
*hidup ini memang nampak indah di luarannya, tapi hakikatnya tidak seindah yang dipandang.
*dan hidup ini tak selalunya akan sentiasa gembira, kadang-kadang pasti akan terasa sedihnya. hatta hanya untuk perkara sekecil kuman turut membuatkan diri terasa hati.
*yang penting, kita tak boleh terlalu mengharap yang terlalu tinggi-tinggi pada sesuatu yang tak mungkin akan dapat kita gapai. T_T

RASA MACAM NAK........... *terus ke satu sudut sepi*
huk3.... :'(

Wednesday, July 20, 2011

untuk kali terakhirnya.... sayonara....

esok....
masa yang dinantikan akan tiba...
aku akan mengakhiri kehidupan aku buat selama-lamanya di UM...
(^_^)

esok...
aku akan menduduki exam untuk kali terakhirnya di bangunan peperiksaan...
mohon semua urusan dipermudahkan.. ameen...
dan selepas itu...
kami semua akan membawa haluan masing-masing...

walaupun aku sendiri tak tahu...
apa dan bagaimana rupanya kehidupan aku selepas ini...

tapi...
terasanya seperti tidak sabar mahu masuk ke dunia yang lain...

Friday, July 8, 2011

aku si anak petani...

Senja itu, guruh berdentum dengan kuatnya. Kilat sabung-menyabung tanpa mempedulikan manusia yang begitu gentar melihat panahannya yang begitu pantas sekali. Aku lantas menutup semua tingkap dan pintu. Hanya pintu utama saja belum ku tutup, sebab ketika itu ayah dan ibu masih di luar.

Senja petang sudah mahu melabuhkan tirainya dan bakal digantikan dengan kepekatan malam pula. Ayah dan ibu masih terus-terusan memandang langit yang sudah kelam. Kelam kerana hujan mahu turun dan kerana malam mahu datang bertandang.

“Ibu… ayah.. masuklah. Dah senja ni. Senja-senja kan tak elok duk kat luar. Orang nak tutup pintu ni.” Aku memanggil ibu dan ayah yang masih di luar. Sepertinya tetap tidak mahu juga bergerak dari terus-terusan memandang awan yang mulai mendung.

“Nak tengok hujan ni nak turun ke tak.” Ayah balas kata-kata aku. Tapi matanya tetap setia pada langit yang mulai kelam.

“Alah, biar je lah. Kalau hujan ke tak ke, biar je la. Ibu dengan ayah nak risau apanya?” Balas aku lagi. Aku gagal mentafsir apa yang sedang bermain di dalam fikiran ibu dan ayah ketika ini.

“Kalau hujan, senanglah hati kami. Sawah tu dah kering. Padi yang dah nak mula hijau tu perlukan air untuk terus hidup.” Kata-kata ibu membuatkan aku tergamam seketika.

Rupa-rupanya dari tadi ibu dan ayah di luar kerana menantikan titis-titis hujan membasahi sawah padi mereka yang kering-kontang. Aku jadi insaf. Selama ini, jika aku di Kuala Lumpur, aku pasti mengeluh kalau hujan datang secara tiba-tiba. Sebab sedikit sebanyak menyusahkan aku untuk ke kelas bila hujan bertandang tanpa diundang.

Tuhan, rupa-rupanya setiap kejadian yang Kau hulurkan pasti ada hikmahnya. Pasti ada sebabnya. Walaupun kadang-kadang aku selalu mengeluh dengan kehadiran hujan tanpa dipinta, namun jauh di sudut hati aku, aku begitu senang dan bahagia melihat titisan hujan ini. Rupa-rupanyanya kebahagiaan ini datangnya dari kebahagiaan orang tuaku yang bahagia apabila melihat rintik-rintik hujan.

Patutlah dari dulu sampai sekarang, aku sangat sukakan hujan. Masih teringat lagi saat aku berada di China dulu. Aku sangat rindukan hujan. Susah benar hujan mahu tunjukkan dirinya pada aku saat aku berada di negara yang cukup asing bagi aku. Walaupun salji turun dengan lebatnya, aku tidak teruja sangat. Walaupun kali pertama aku melihat salji turun secara realiti di depan mata aku, aku tidak taksub sangat. Sebab mungkin aku lebih sukakan hujan dari salji. Dan kenyataannya bila hujan turun satu demi satu, di fikiran aku akan terus teringatkan sang petani yang sentiasa mengharapkan hujan datang menyimbah sawah bendang mereka yang sudah mulai kering. Dan sang petani itu sendiri adalah ayah aku sendiri. Dan aku adalah anak kepada sang petani itu.

Sekarang padi di sawah sudah makin besar dan kehijauannya sangat mendamaikan aku setiap kali aku pulang ke kampung. Dan setiap kali berada di hadapan sawah padi yang terbentang, aku pasti akan pejamkan mata dan menghidu bau sawah padi yang sangat wangi baunya. Walaupun selama 23 tahun aku hidup di muka bumi ini sebagai anak petani, tapi setiap kali aku melihat keindahan sawah padi yang terbentang di hadapan mata aku, aku pasti akan takjub. Takjub dengan keindahan yang Allah kurniakan. Selalu aku berkata dalam hati, kalau aku pandai melukis, aku mahu melukis keindahan ini. Tapi aku tak pandai melukis, aku pandai menulis sahaja. Pandai menulis untuk menceritakan keindahan tersebut.

Dan… aku sudah tidak sabar menanti musim menuai tiba. Aku mahu melihat sawah padi berwarna kuning pula. Tuhan, betapa aku sangat bersyukur menjadi anak seorang petani dan dapat melihat keindahan ini setiap tahun. Betapa keindahan ini mendamaikan jiwa aku. Terima kasih ya Allah…

(Tulip Sayang II)