"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Friday, July 8, 2011

aku si anak petani...

Senja itu, guruh berdentum dengan kuatnya. Kilat sabung-menyabung tanpa mempedulikan manusia yang begitu gentar melihat panahannya yang begitu pantas sekali. Aku lantas menutup semua tingkap dan pintu. Hanya pintu utama saja belum ku tutup, sebab ketika itu ayah dan ibu masih di luar.

Senja petang sudah mahu melabuhkan tirainya dan bakal digantikan dengan kepekatan malam pula. Ayah dan ibu masih terus-terusan memandang langit yang sudah kelam. Kelam kerana hujan mahu turun dan kerana malam mahu datang bertandang.

“Ibu… ayah.. masuklah. Dah senja ni. Senja-senja kan tak elok duk kat luar. Orang nak tutup pintu ni.” Aku memanggil ibu dan ayah yang masih di luar. Sepertinya tetap tidak mahu juga bergerak dari terus-terusan memandang awan yang mulai mendung.

“Nak tengok hujan ni nak turun ke tak.” Ayah balas kata-kata aku. Tapi matanya tetap setia pada langit yang mulai kelam.

“Alah, biar je lah. Kalau hujan ke tak ke, biar je la. Ibu dengan ayah nak risau apanya?” Balas aku lagi. Aku gagal mentafsir apa yang sedang bermain di dalam fikiran ibu dan ayah ketika ini.

“Kalau hujan, senanglah hati kami. Sawah tu dah kering. Padi yang dah nak mula hijau tu perlukan air untuk terus hidup.” Kata-kata ibu membuatkan aku tergamam seketika.

Rupa-rupanya dari tadi ibu dan ayah di luar kerana menantikan titis-titis hujan membasahi sawah padi mereka yang kering-kontang. Aku jadi insaf. Selama ini, jika aku di Kuala Lumpur, aku pasti mengeluh kalau hujan datang secara tiba-tiba. Sebab sedikit sebanyak menyusahkan aku untuk ke kelas bila hujan bertandang tanpa diundang.

Tuhan, rupa-rupanya setiap kejadian yang Kau hulurkan pasti ada hikmahnya. Pasti ada sebabnya. Walaupun kadang-kadang aku selalu mengeluh dengan kehadiran hujan tanpa dipinta, namun jauh di sudut hati aku, aku begitu senang dan bahagia melihat titisan hujan ini. Rupa-rupanyanya kebahagiaan ini datangnya dari kebahagiaan orang tuaku yang bahagia apabila melihat rintik-rintik hujan.

Patutlah dari dulu sampai sekarang, aku sangat sukakan hujan. Masih teringat lagi saat aku berada di China dulu. Aku sangat rindukan hujan. Susah benar hujan mahu tunjukkan dirinya pada aku saat aku berada di negara yang cukup asing bagi aku. Walaupun salji turun dengan lebatnya, aku tidak teruja sangat. Walaupun kali pertama aku melihat salji turun secara realiti di depan mata aku, aku tidak taksub sangat. Sebab mungkin aku lebih sukakan hujan dari salji. Dan kenyataannya bila hujan turun satu demi satu, di fikiran aku akan terus teringatkan sang petani yang sentiasa mengharapkan hujan datang menyimbah sawah bendang mereka yang sudah mulai kering. Dan sang petani itu sendiri adalah ayah aku sendiri. Dan aku adalah anak kepada sang petani itu.

Sekarang padi di sawah sudah makin besar dan kehijauannya sangat mendamaikan aku setiap kali aku pulang ke kampung. Dan setiap kali berada di hadapan sawah padi yang terbentang, aku pasti akan pejamkan mata dan menghidu bau sawah padi yang sangat wangi baunya. Walaupun selama 23 tahun aku hidup di muka bumi ini sebagai anak petani, tapi setiap kali aku melihat keindahan sawah padi yang terbentang di hadapan mata aku, aku pasti akan takjub. Takjub dengan keindahan yang Allah kurniakan. Selalu aku berkata dalam hati, kalau aku pandai melukis, aku mahu melukis keindahan ini. Tapi aku tak pandai melukis, aku pandai menulis sahaja. Pandai menulis untuk menceritakan keindahan tersebut.

Dan… aku sudah tidak sabar menanti musim menuai tiba. Aku mahu melihat sawah padi berwarna kuning pula. Tuhan, betapa aku sangat bersyukur menjadi anak seorang petani dan dapat melihat keindahan ini setiap tahun. Betapa keindahan ini mendamaikan jiwa aku. Terima kasih ya Allah…

(Tulip Sayang II)

No comments:

Post a Comment