Bismillah..
Malam tadi, dalam pukul 1.30 am, aku masih bersendirian depan laptop sambil buka radio dengar lagu jiwang. Malam semalam memang tak boleh tidur sebab siangnya aku membuta sangat lama. Akibatnya malam jadi burung hantu.
Aku masuk bilik kemas katil. Mahu tidur katil mesti kemas sebab katilku penuh buku dan novel. Niat di hati mahu solat istikharah sebelum tidur tapi bila keluar je dari bilik aku tengok kakak ipar sedang lipat baju depan ruang tamu. Hairan aku tak pernah dibuatnya kakak ipar rajin sampai mahu lipat baju seawal jam satu pagi.
Akak ipar panggil aku duduk bersama dia. Aku akur! Lantas tangan turut sama melipat baju. Biasa baju dalam bakul yang banyak itu aku sorang yang lipat sebab akak iparku memang rajin basuh baju. Malam itu memang aneh. Ada sesuatu yang cuba akak iparku mahu luahkan. Aku sudah dapat menduga.
"Nak kakak ipar lagi tak?" Soalan apa ni? Aku terkedu. Setahu aku, aku hanya ada sorang abang je kat dunia ni. Melainkan.... 25 tahun aku hidup kat dunia ni kalau aku tak faham apa yang cuba akak ipar mahu sampaikan memanglah tak logik dek akal!
"Abang nak kahwin sorang lagi!" Sungguh aku terkejut! Darah menyerbu ke muka serta-merta. Untuk pertama kali ku dengar luahan perasaan seorang isteri yang suaminya mahu kahwin lagi. Suami dia pula abang kandung aku!
"Kenapa kak izan boleh setenang ni? Kak izan tak rasa apa-apa ke?" Lama aku pandang wajah isteri abang yang pada perkiraan aku dah cukup sempurna menjadi isteri pada abang dan menantu pada mak! Sungguh aku tak puas hati dengan reaksi akak ipar ketika ini.
"Habis tu nak suruh kak izan menangis terpekik terlolong macam orang gila biar semua orang tahu!"
Aku diam. Sungguh tak terkata!
"Hari khamis ni abang nak bawa kak izan jumpa perempuan tu!"
Masih tenang wajah kakak ipar. Aku hairan! Kenapa kakak ipar tak menangis? Setitik air mata langsung tak kelihatan diwajah dia.
"Masa abang cakap nak kahwin sorang lagi, langsung air mata ni tak keluar. Kak izan paksa cuba untuk menangis tapi tak boleh! kak izan pun tak tahu kenapa. Tapi sekarang macam-macam rasa yang ada dalam hati ni. Macam-macam benda yang kak izan fikir sampai tak boleh nak tidur!"
"Kak izan bagi ke abang nak kawen sorang lagi?" Teragak-agak aku bertanya.
"Kawen la.. tapi banyak syarat yang akan kak izan buat."
Amboi, abang sedap pula tidur sedang isteri dia tak boleh nak lelapkan mata seminit pun! Sudah dapat kebenaran dari isteri terus tidur tak ingat dunia. Sungguh aku tak boleh terima perbuatan abang!
Atau sebenarnya ini hukum karma? Yalah dulu bukan ke kak izan dah ambil abang dari kak zai, isteri pertama abang. Sekarang kak izan kena rasa apa yang kak zai rasa. Tapi aku tak salahkan kak izan sebab semua ni kerja Tuhan. Entahlah aku tak dapat fikir...
"Kak izan rasa tak boleh nak tidur malam ni. Mata ni pun segar je! Tak tahu nak buat apa la malam ni." Sayu dengar suara kak izan. Jam dah hampir jam 3 pagi. Tak sedar lama juga aku menjadi tempat luahan perasaan akak iparku.
"Kak izan solat istikharah, mohon petunjuk. Baca al-Quran tenangkan hati!" Aku tak pandai nak nasihat lebih-lebih sebab aku sendiri belum berkahwin dan tak punya pengalaman berkaitan soal rumah tangga ni. Tapi aku tahu, waktu ini kak izan sedang diuji Allah. Allah mahu kak izan dekatkan diri dengan Dia. Merayu merintih pada Dia adalah jalan terbaik. Allah sentiasa mendengar keluh-resah hati kita tapi kita sebenarnya ego untuk merayu pada-Nya.
Lama lepas tu, kami masuk bilik masing-masing. Mata aku makin segar! Aku log in facebook, cuba mencari siapakah gerangan yang cuba menjadi orang ketiga hubungan abang dan kakak ipar. Kata kak izan, perempuan itu selalu like & komen status abang. Malam itu aku jadi stalker facebook abang. Tak pernah-pernah ku stalk facebook abang. Malam ni rajin pula aku!
Sekali lagi aku hairan! Perempuan itu tidak tahu istilah 'hormat' agaknya. Sekurang-kurangnya hormatlah abang yang sudah ada isteri. Tak tahu ke dia apa perasaan isteri abang bila baca komen mengada-ngada dia kat status abang. Aku pula yang over geram!
Hairan! Sungguh aku hairan! Malam ini penyakit hairan aku menjadi-jadi. Kata kak izan perempuan tu ex-girlfriend abang. Dulu abang pernah janji dengan dia bila dia dah habis study diorang akan kahwin. Tapi bila dia dah habis study abang dah kahwin dengan kak zai masa tu. Agaknya dia frust, lepas tu dia kahwin. Tapi perkahwinan dia tak kekal lama sebab dia bercerai. Dah ada nak, tingkatan empat kalau tak silap!
Sebab hairan :
1) perempuan tu dah tua berumur dalam lingkungan 37 macam tu lah! Sedang kak izan masih 20 puluhan ke atas.
2) kalau anak dara yang cantik molek tu tak hairan la kan? Kata abang, kak izan lagi cantik dari segi rupa paras. Habis tu apa yang membuatkan abang berkenan sangat dengan perempuan tu.
3) kak izan dah cukup setia dan paling penting pandai jaga mak & ayah mertua. Masa mak sakit teruk baru-baru ni kak izan yang jaga mak. Aku yang anak kandung mak sendiri tak berpeluang nak jaga mak. Dan lagi semua masakan kegemaran abang kak izan dah berguru dengan mak. Layanan kak izan pula dari segi pemerhatian aku cukup first class.
4) kak izan dah banyak berkorban untuk abang!
5) kak izan adalah ibu terbaik untuk balqis. Kakak kandung aku yang kat Cyberjaya pun kalah tau!
6) sangat rajin. Terkadang bila aku balik kampung, langsung tak sempat nak buat kerja rumah sebab kak izan dah buat semua kerja rumah. Cekap dengan kerja rumah!
Sebenarnya apa seorang suami mahu lagi dari seorang isteri ya? Sungguh ku pelik bila isteri dah cukup baik dari segala-galanya tapi masih mahu nikah sorang lagi! Aduhai, cinta ni memang pelik kan?
Betullah kata pepatah cinta, untuk mencintai seseorang tak perlu sebab sangat sebenarnya. Atau sebenarnya itu bukan cinta tapi nafsu semata-mata. Betul kan? Atau aku salah sebenarnya?
Tak lama kemudian aku dengar suara kak izan mengaji. Mendayu-dayu. Sampai aku pun rasa sayu dan turut sama menangis. Allah... berat sungguh ujian kak izan. Moga kak izan diberi kekuatan.
***
Pagi tadi aku tersedar dari tidur. Jam dah pukul 10.10 am. Lepas subuh aku tidur semula sebab semalam aku tidur jam lima pagi. Mujur pagi ni mak tak berleter sebab bangun bila matahari dah meninggi.
Aku dengar suara esak tangis kak izan yang kuat. Aku tahu kak izan dah mula cerita pada mak. Abang keluar pergi rumah kawan dia.
Suara mak memang bantah sekeras-kerasnya. Aku terus mandi. Malas mahu ikut serta perbincangan mak dan kakak ipar. Sebenarnya mahu memberi ruang pada kak izan meluahkan rasa hati dia pada mak.
Lepas mandi, aku tengok kak izan dah tak ada dengan mak. Mak masih berleter pasal abang. Ayah yang jadi mangsa kena dengar semua leteran mak. Aku senyum. Kagum dengan ayah sebab sangat penyabar melayan leteran mak.
"Mak, mana kak izan?" Sambil tangan terus capai periuk nasi nak masak nasi. Selalunya waktu begini kak izan memang dah masuk dapur untuk masak tengah hari. Tapi tak nampak pula kak izan.
"Kak izan hang kat dalam bilik. Susah hati! Abang hang nak kawen sorang lagi!" Balas mak!
"Orang tau dah sebab semalam kak izan dah cerita kat orang. Semalam orang tak boleh tidur, kak izan cerita semua dah!" aku jawab jujur.
"Mak boleh buat apa lagi adik, kalau tu dah kehendak abang hang. Tapi sebelum dia kahwin memang dia kena dengaq mak berleter kat dia puas-puas dulu la." Balas mak. Mak memang tak berkenan dekat perempuan yang abang nak nikah tu dari dulu lagi.
Aku diam. Mendengar bebelan mak.
Sampai sekarang kak izan tak makan dan tak tidur. Yang paling kelakar tadi abang tanya kak izan kenapa tak makan. Kak izan jawab, dah kenyang makan hati! Tajam dan pedas sungguh! Aku tergelak dalam hati.
***
Jika suamiku minta izin nikah sorang lagi...
aku akan pengsan!!!!! aku rasa itu saja cara yang boleh menyebabkan aku pengsan! Entah-entah terus koma agaknya! Sungguh ku tak rela berkongsi kasih. Sebab aku memang tamak bila melibatkan perasaan ni.
Pernah aku tanya ayah, "pernah berniat nak nikah lain tak?"
sebelum ayah balas, aku dah cakap, "jangan jawab!" Aku tak sanggup mendengar jawapan yang akan meremukkan hati aku sendiri. Aku tak rela berkongsi kasih ayah dengan orang lain! Sebab aku adalah anak kesayangan ayah. Aku tak rela ada gambar orang lain di skrin handphone ayah melainkan gambar aku. Aku tak rela kad ATM ayah yang aku pegang ni aku perlu berkongsi dengan orang lain! Aku tak rela ada orang lain tidur dengan ayah melainkan mak sorang. Aku tak rela bila lihat ayah akan prihatin pada anak-anak tiri dia melebihi aku. SUNGGUH AKU TAK RELA!
Mungkin sebab dari kecil lagi aku tak pernah diajar berkongsi satu apa benda pun dengan orang lain melainkan dengan adik-beradik sendiri. Eh, tapi kongsi benda dengan kongsi kasih sayang dua benda yang berbeza okey!
Itu baru ayah. Kalau suami sendiri lagilah aku tak rela. Sungguh bila dah jadi begini di depan mata aku sendiri, aku dah tak rasa nak kahwin. Sungguh! Aku jadi takut aku akan terluka.
Apapun aku harap sangat abang tak jadi kahwin sorang lagi!
Dan semoga kak izan akan terus tabah dan kuat!