"Mereka mendahulukan akhirat ke atas dunia, mencintai kematian di dalam ketaatan, dan melebihkannya dari kehidupan pada kemaksiatan. Jika berkuasa mereka menghukum dengan adil, mereka memerintah dengan anjuran Islam, mereka zuhud, mereka berbuat baik, maka merekalah orang-orang yang beruntung! Kitakah mereka itu?"

Indahnya Islam...

Saturday, August 27, 2011

hari yang terisi....


Okey, masih seperti biasa. Malam tak boleh tidur! Ia adalah satu seksaan yang amat dahsyat sepanjang 23 tahun aku hidup di muka bumi ini. Nikmat tidurku ditarik Allah secara tiba-tiba. Sebenarnya sudah hampir dua minggu tak dapat tidur dengan sempurna di waktu malam. Dan sebab itu juga aku katakan kehidupan aku sudah bertukar menjadi tidak normal.

26 Ogos 2011
Akibat penyakit pelik ini, makanya selepas sahaja bersahur terus masuk bilik untuk tidur. Kunci jam pukul 6.15 tapi tak sedar.

Mimpi mulut ditutup oleh satu tangan lelaki. Mahu menjerit tapi tak ada kudrat. Tersentak. Bangun dari tidur terus istighfar. Tengok jam dah pukul 7.04 pagi. Kelam kabut masuk bilik air ambil wudhu'.Moga solatku diterima.

Lepas subuh, sambung tidur semula sebab sudah mula merasakan penyakit migrain akan kembali bertandang akibat penyakit pelik ini.

Pukul 12 baru terjaga dari tidur. Amat tidak wajar bagi seorang anak dara bangun pukul 12 tengah hari, tapi apakan dayaku. Tika ini malam bukanlah rutin aku untuk tidur. Hmmm... Sudah bertukar kehidupan.

Bangun tidur terus kemas rumah. Sapu sampah, mop lantai, basuh bilik air, tandas dan dapur, basuh baju, lipat baju dan sebagainya. Oleh sebab menjadi orang terakhir tinggal di rumah sewa, maka perlu 'clear' segala-galanya sebelum tinggalkan rumah. Penat sangat sampai tengok air paip pun sudah nampak seperti milo ais. haisy....

Solat Zohor.

Pergi UM. Hantar borang untuk transkrip sementara. Tapi dapat lepas raya. Kecewa.

Terus ke Mid Valley. Melihat suasana raya orang bandar. Gelagat manusia di hari-hari terakhir ramadhan.

Buka pusa di Mc'd sambil tengok seorang kanak-kanak perempuan yang sungguh comel makan ayam goreng. Terus berkeinginan untuk ada anak sendiri. haisy...

Esok 27hb Ogos 2011
Akan pulang ke kampung jam 11.30 malam. Insyaallah, oleh sebab jadi orang terakhir pulang ke kampung, maka akan jadi orang terakhir juga pulang ke Kuala Lumpur.

Dan seterusnya...
akan meneruskan misi yang tergendala. Moga dipermudahkan. Ameen.

Cukup sampai di sini catatan hari ini.

Kepada rakan-rakan blog & sesiapa sahaja yang sudi menjenguk di sini, selamat hari raya diucapkan. Segala salah silap harap dimaafkan. (^_^)



_________________________
I have added cool emoticons to this message.
To see them go to http://x.exps.me?59084356307f7a13dd2659724c82b3c7

Tuesday, August 23, 2011

Sang Puteri beradu sepi...

Aduhai sepertinya kehidupan aku telah terbalik. Hidup seperti orang yang tidak normal saja layaknya. Malam ku bertukar menjadi siang, siang ku bertukar menjadi malam.

Aduhai, aku sudah menjadi puteri beradu di siang hari. Sepertinya tidak mahu meneruskan kehidupan di siang hari. Malam-malam yang menemaniku hanyalah sang unggas malam yang setia berjaga sehingga di awal pagi.

Aduhai malamku yang sepi. Sepertinya aku sudah tidak mempunyai kehidupan di siang hari. Hidupku hanya di malam hari, menemani kepekatan malam yang langsung tidak simpati pada nasibku.

Aduhai sang malam, langsung tidak bersimpati dengan kisah hidupku yang saban hari menanti sang hujun gugur di muka bumi membasahi sekeping hati yang sedang kemarau.

Aduhai hatiku yang lembut, apa sebenarnya ada dalam hatimu?

Aduhai fikiranku yang waras, apa yang difikirkanmu di malam hari?

Aduhai sang diri, tidak penatkah menyeksa diri sendiri?

Aduhai ketenangan, hadirlah untuk temaniku sepanjang malam. Usirlah segala kegusaran yang bertandang.

Aduhai puteri beradu, berpijaklah di bumi yang nyata. Redhakanlah segala-segalanya. Tabahkan hatimu. Biarkan sang hujanmu pergi jauh darimu. Usah terus mengharap dan mendambakan sang hujan akan hadir lagi untuk membasahi hari-harimu seperti dulu.

Aduhai penanti sang hujan, usahlah memandang langit lagi hanya semata-mata mengharapkan sang hujan menitis di hatimu lagi. Berdoalah dan yakinlah bahawa pemergian sang hujan darimu hanya kerana ingin mencari ketenangan dan cinta Sang Pencipta bumi.

Aduhai sang puteri dilindungi bulan,
kembalilah kepada kehidupan normal.
Pejamkan matamu, kosongkan fikiranmu.
Untuk sedetik cuma, hilangkan sebentar dirimu dari dunia yang selalu membuatkan hatimu duka.
Untuk sebentar cuma, hentikan air mata yang saban malam menemanimu.

SEMOGA ALLAH SENTIASA MEMBERI KEBAHAGIAAN BUATMU SANG PUTERI. (^_^)

Monday, August 22, 2011

Dugaan Ramadhan

Tadi Asraf telefon...
Asraf = anak saudara...
"Mak su, mak masuk hospital!"

Kata Asraf lagi :
"Mak sandar kat dinding. Tiba-tiba cermin yang bersangkut atas cermin tu jatuh.
Cermin tu pecah, kena tangan mak. Banyak urat yang putus. Darah banyak sangat.
Sekarang mak kat hospital, kat wad cyberjaya."

Kak Eda, semoga cepat sembuh. Orang doakan kak cepat sembuh.
huhuhu.

*mesti mak risaukan kak eda sekarang ni*

:'(

Sunday, August 21, 2011

jiwa yang kosong...


Perasaan apa ini ya Allah? Sehingga aku begitu terasa kosong sekali. Adakah aku kurang ikhlas bila bertemu dengan-Mu atau selama ini begitu banyak aku abaikan tanggungjawab sebagai hamba-Mu?

Pertama kali dalam hidup ini sepertinya aku langsung tidak mendapat petunjuk dari-Mu ya Allah. Atau sebenarnya ini hanya perasaan aku? Aku buntu ya Allah. Banyak sangat yang aneh dalam hidup aku sejak akhir-akhir ini. Atau sebenarnya aku yang terlalu sensitif. Ramadhan kali ini kenapa aku rasa begitu aneh sekali dalam hidup aku.

Aku sedih. Dan aku jadi cepat sedih.

Awal pagi tadi, aku bangun awal pagi untuk menjalankan tugas aku sebagai hamba-Mu, tapi jiwa aku terasa sangat kosong. Sepertinya aku tidak ada apa-apa rasa. Anehnya ya Allah. Sampaikan aku tertidur dalam telekung tanpa perasaan.

Apa yang cuba Kau sampaikan pada aku ya Allah? Apa makna disebalik semua keanehan ini? Allah...

Saturday, August 20, 2011

Hilangnya sang hujan...


Ke mana sang hujan menghilang? Hingga langsung tidak menunjukkan diri. Adakah ini bermaksud akan muncul kemarau panjang menggantikan sang hujan? Hanya guruh, kilat, ribut dan taufan saban hari menemani hari-hariku... Oh...

Segeralah bertandang sang hujan. Saban hari aku menantimu tanpa jemu. ^^

Thursday, August 18, 2011

Nasihat mak di bulan puasa...


Petang itu, ramadhan yang entah ke berapa, aku kurang pasti. Aku duduk termenung di depan pintu. Memang itu salah satu hobi aku di rumah, setiap kali pulang ke kampung. Emak datang pada aku. Tidak pula emak bising-bising bila aku selalu mengelamun tak tentu hala.

"Bulan puasa ni banyakkan baca al-Quran." Tiba-tiba emak bersuara. Aku pandang mak. Mak tersenyum pada aku. Ah, senyuman seorang ibu begitu mendamaikan hati.

"Adik pernah khatam al-Quran bulan puasa?" Mak ni, sudah berapa kali aku cakap, jangan panggil aku 'adik'. Malu tau! Dah besar pun masih nak beradik-adik. Tapi mak selalu kata, 'adik' itu panggilan manja aku dalam keluarga. Suka hati mak la!

"Tak." Lemah aku jawab. Malu sebenarnya mahu berkata benar.

"Mak tengok adik suka sangat baca buku. Dari kecil suka sangat membaca. Dalam tiga hari dapat habiskan satu buku." Sepertinya aku dapat membaca apa yang mahu emak sampaikan.

Aku diam!

"Apa salahnya hobi membaca tu beralih kepada membaca al-Quran. Paling kurang, sehari habiskan satu juzuk. Tamat ramadhan, khatam la bacaan adik." Sambung emak lagi.

"Tapi mak, orang perempuan mustahil la nak dapat puasa penuh," aku tersengih. Ah, pandai sungguh aku mencari alasan.

"Adik dah besar. Belajar agama lagi banyak dari mak. Tak kan masalah macam tu adik tak tahu nak cari jalan penyelesaian." Sungguh lembut teguran seorang ibu. Hingga terkesan jauh di sudut hati.

"Mak....."

"Mak bulan puasa ni dapat habiskan 3 juzuk dalam masa satu hari. Cukup sepuluh hari, khatam la." Belum sempat aku meneruskan kata-kata, emak sudah pintas apa yang mahu aku katakan.

Terus otak mengira dengan pantas berapa kali emak khatam al-Quran dalam bulan puasa ini. Tiga kali! Ah, malunya pada mak. Aku mahu habiskan sekali pun sangat susah. Sungguh aku rasa kagum pada emak.

Emak pandang aku dengan pandangan yang sukar aku tafsirkan. Tiba-tiba emak pegang tangan aku. Sejuknya tangan mak!

"Mak tak pernah halang adik dari buat benda yang adik suka. Adik boleh teruskan hobi membaca tu. Mak tahu, adik pandai memilih bahan bacaan. Cuma, emak tak nak adik leka."

Ya, aku sedar tentang semua itu. Apa yang aku suka, emak dan ayah tak pernah halang. Kata ayah, asal aku pandai jaga diri, itu sudah mencukupi. Dan asalkan apa yang aku suka tidak bercanggah dengan agama. Alhamdulillah, aku masih dapat menjaga semua itu.

"InsyaAllah mak. Orang akan buat apa yang mak nasihatkan." Dan sehingga sekarang, jarang sekali aku membahasakan diri dengan 'adik' atau 'cek' seperti orang-orang utara lain suka bercakap.

Dahulu selalu juga emak tegur sikap aku yang sepertinya kurang suka dengan bahasa kelahiran mak dan ayah. Dan aku akan jawab, "mak, orang kan lahir kat pahang. Pahang sejati. Mesti la orang kena agungkan bahasa negeri sendiri." Dan aku akan tersengih-sengih ketika berkata. Emak hanya mampu geleng-geleng kepala.

Ah, rindunya pada mak!

"Dah habis belajar ni nak buat apa?" Tanya emak lagi. Soalan kali ini lebih ke arah masa depan aku.

"Orang nak jaga mak dengan ayah."

"Adik tak nak kahwin?" Ah, sudah! Jangan la mak kata ada orang masuk minang aku. Mahunya aku pengsan secara tiba-tiba kat sini. Hidup di kampung ni bukan boleh dijangka sangat.

Aku sengih. "Orang tak fikir lagi mak. Lepas raya ni orang bagi jawapan ye!"

"Dah sampai masanya adik fikir pasal masa depan. Apa pun yang adik nak buat, mak akan sokong."

Aku paut bahu mak dengan manja. Jarang sekali aku berbincang tentang perkara yang agak serius dengan emak. Dan sebenarnya aku tidak boleh membantah kata-kata emak. Lepas raya, aku harus beri jawapan pada mak.... dan pada diri aku sendiri.

Alahai... susahnya dah jadi orang dewasa ni kan....

Sunday, August 14, 2011

untuk beliau....

Sebenarnya sudah lama mahu menulis entri ni. Aku mahu post sesuatu untuk Liana Afiera Malik. Oh, pasti orang yang tak suka baca novel akan tertanya-tanya siapa beliau. Beliau ialah adalah salah seorang penulis novel yang sangat kagumi suatu ketika dulu.

Dan... Sebenarnya 'Bukan Puteri Lindungan Bulan' yang aku gunakan sebagai tajuk blog aku ini juga aku ambil sempena nama novel beliau. Alhamdulillah, novel yang banyak memberi manfaat kepada aku. Untuk menjadi manusia tabah seperti Larasati 'Aisya.

Tanggal 3 ramadhan beliau telah meninggal dunia. Semoga rohnya tenang di sana dan ditempatkan di sisi orang yang beriman. Agak terkilan sedikit sebab aku tidak dapat melihat wajahnya hingga ke akhirnya.

al-fatihah.

Monday, August 8, 2011

Noktah.


Terasa begitu susah untuk memahami hati dan perasaan aku di ketika ini. Sebenarnya aku mengharapkan ia berakhir apabila aku meletakkan tanda noktah di hati aku. Tetapi kadang-kadang aku rasa begitu terbuai dengan keayikan perasaan sendiri. Sebenarnya perasaan yang wujud ini lebih kepada 'sakit'.

Ibaratnya aku menanti hujan datang dengan penuh sabar di tepi jendela. Mengharapkan titis-titis hujan ini dapat menyejukkan perasaan dan mendamaikan hati tika kegusaran bertandang. Namun bila hujan itu hadir dalam hidup aku, aku terpaksa mengharapkan agar ia segera berlalu dari hidup aku. Walau hakikat sebenar bukan itu yang aku pinta. Aneh kan? Aku terpaksa mengusir jauh-jauh sesuatu yang aku suka dari hidup aku.

Apabila teringatkan tentang hakikat diri yang terlalu banyak dosa di muka bumi ini, terasa betapa aku tidak layak untuk mengharap atau meminta apa pun jua. Hatta untuk setitis hujan sekalipun! Sedihnya kan?

Mengertikah sang hujan tentang perasaan aku ketika ini? Atau bahasa aku ini terlalu puitis sehingga begitu payah sekali untuk dicerna oleh otak? Atau sebenarnya aku saja yang mengharap agar sang hujan datang dalam hidup aku, sedang sang hujan hanya turun mengikut kebiasaannya saja? Mungkin ini yang dikatakan keinginan sebelah pihak atau...... bertepuk sebelah tangan? Begitukah? Oh, terlalu banyak persoalan yang perlu dirungkai bila ianya melibatkan tentang hati.

Mengapa ya setiap apa yang aku rasa di saat ini aku perlu kaitkan dengan sesuatu yang pernah terjadi dalam hidup aku di suatu masa dahulu? Tidak bolehkah aku terus berjalan ke hadapan tanpa berpaling ke belakang? Hmm... tengok, aku masih timbulkan persoalan lagi. Yang aku kira akan membuat otak yang sedia serabut bertambah serabut.

Ya, aku sedar aku memang tidak layak untuk mengharap pada sang hujan lagi. Jadi, aku perlu letakkan tanda noktah dalam hati aku supaya ianya tidak akan berterusan. Cukup sampai di sini saja sang hujan. Ah, sadisnya! Kenapa kehidupan aku begitu sadis sekali ya? Mungkinkah jika anak aku wujud suatu hari nanti dan membaca catatan-catatan aku ini, dia akan berkata "tragisnya kisah hidup ummi!" Dan aku akan tersenyum padanya.

Dan aku akan katakan padanya "hidup ini tidak akan sempurna jika tidak diwarna-warnikan dengan pelbagai warna. Kadang-kala warna putih yang hadir, dan ada ketikanya warna hitam yang menyelubungi hidup ini. Dan siapalah kita untuk menolak setiap takdir yang memang telah ditetapkan sejak azali lagi."

Semoga pengakhiran kisah hidup aku diwarnakan dengan warna yang indah satu hari nanti. Ameen.

Yang Mengharap,
Tulip Sayang.

Thursday, August 4, 2011

mimpi

Semalam aku mimpi. Mimpi yang aneh. Tak pernah seumur hidup aku mimpi aku berada di luar Negara, tapi semalam aku mimpi aku berada di Amsterdan. Tapi yang peliknya bukan aku yang belajar di Universiti di sana, tapi kawan-kawan aku. Tati pun ada. Aku pergi hanya sebagai tetamu mereka, untuk melawat kawan-kawan aku di sana. Aku tak nampak bunga tulips yang aku suka sangat tu, tapi aku nampak bunga lain. Bunga yang aku sendiri tak pasti dan tahu apa namanya. Cantik, tapi tak secantik tulips. Itu aku sangat pasti!

Yang lucunya aku ke Holland dengan kereta api! Tapi kereta api ini tak macam kereta api Lanzhou-Beijing. Kereta api ini laju sangat. Sampai aku kena berpaut pada tiang-tiang di dalam kereta api tersebut. Dan penumpangnya juga tak ramai. Tidak seramai seperti dalam kereta api Lanzhou-beijing. Ah, kenapa aku mesti membandingkan semua perkara dengan keadaan di China. Bukankah setiap tempat ada keistimewaan tersendiri. Hmmm… mimpi tu aneh sekali!

Amsterdan! Tempatnya sangat aman. Cuacanya tidak sesejuk di China. Tengok, aku masih membandingkan dengan keadaan di China. Ya, aku sangat rindukan bumi China. Oh, lupa nak cerita aku ada mimpikan Lanzhou juga. Aku mimpikan tadika tempat aku mengajar kanak-kanak yang comel. Yang anehnya aku mengajar mereka dalam bahasa melayu dan mereka faham setiap kata-kata aku. Mimpi ini memang aneh kan? Tapi aku suka dapat mimpi seperti ini. Dapat mengubat kerinduan aku pada insan-insan yang aku tinggalkan di China. Kenangan seperti itu memang seronok dikenang. J

Dan lagi… ini mimpi paling seronok sekali. Aku mimpikan pingu aku. Rindunya aku pada dia. Entah apa khabar dia agaknya dengan tuan baru dia. Dulu, masa aku di China pingu tu selalu jadi peneman aku. Terutama ketika aku sejuk sangat-sangat dan ketika aku berada dalam kesedihan. Anehnya, biarpun dia hanya seekor patung kecil, aku rasa jadi senang dapat meluahkan segala kesedihan aku pada dia. Boleh tak kalau aku nak balik pingu aku tu? Hikhik….

Indahnya mimpi-mimpi yang menemani aku saban malam (walaupun banyak yang anehnya juga), sampai terkadang rasanya tidak mahu terjaga dari tidur saja. Tapi aku tahu mimpi hanyalah mimpi. Mimpi tidak akan boleh berubah menjadi kenyataan. Dan aku.. aku sedar tentang hakikat itu. Ya, semua mimpi-mimpi itu adalah impian yang pernah aku karang di awan biru suatu masa dahulu. Dan aku sendiri tak pasti sama ada impian aku akan jadi kenyataan atau tidak. Manusia memang pandai mengarang impian, dari hujung dunia hingga ke hujung dunia pun manusia mampu karang. Tapi untuk merealisasikan setiap impian itu, ah kenapa begitu sukar ya? Atau jawapannya ialah…. Belum tiba masanya untuk impian-impian tersebut menjadi kenyataan? Betul ke?

Dan sebagai hamba Allah, aku bersyukur dengan setiap apa yang Allah kurniakan buat masa ini. Aku tidak akan pernah mengharap untuk mendapat yang lebih-lebih lagi. Cukup sampai di situ aku karang impian-impian aku. Dan untuk pengetahuan semua (yang sudi baca blog ini), aku bahagia sekali ada impian yang indah seperti ini. J